Sunday, August 30, 2020

63 Tahun Merdeka

 




Menjelang sambutan kemerdekaan ke-63, kali ini tema Malaysia Prihatin dipilih. Sesuai dengan cabaran pandemik Covid-19, tema ini dianggap relevan untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat.



Rukun Negara Malaysia




Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.


RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
  • Memelihara cara hidup demokratik;
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Saturday, August 29, 2020

Friday, August 28, 2020

Malaysia Merdeka

 







Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Diah Wahari berkata acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.
"Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.
"Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM)," katanya selepas menjadi tetamu program @Radio di Bernama Radio bertajuk Bulan Kebangsaan 2020 'Malaysia Prihatin' semalam.
Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, Mohammad Diah berkata RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).
Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.
"Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara," katanya.
Mohammad Diah turut mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing selain menyertai pelbagai program kenegaraan anjuran KKMM, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan RTM sebagai tanda patriotik kepada negara.
Mengulas mengenai program kenegaraan, beliau berkata antara yang sedang dan akan diadakan ialah Merdeka@Komuniti, Sayembara Sajak Merdeka, pertandingan fotografi Klik@Merdeka 2020, Webinar Rukun Negara, e-Treasure Hunt, Kapsul 'Terima Kasih Hero' dan konsert Kita Merdeka 1957-2020.
Sambutan kali ini menyaksikan logo berbentuk hati menjadi pilihan selepas kali terakhir ia digunakan pada 2016 dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenal ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu.
-- BERNAMA